Sunday, October 9, 2011

PERANAN WANITA DALAM MELAHIRKAN GENERASI YANG BERKUALITI

Kita sering mendengar slogan yang berbunyi “Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara”. Kita juga sering mendengar kata-kata bahawa seseorang lelaki yang berjaya, sesungguhnya di belakangnya berdiri seorang wanita yang memberikan sokongan dan inspirasi malah pepatah juga ada menyatakan “Tangan yang menghayun buaian itu, boleh menggoncang dunia”. Demikianlah, kaum wanita itu dilihat sebagai golongan yang bukan sahaja menggambarkan kelembutan tetapi juga memperlihatkan wibawa dan karisma yang tersendiri. Jelasnya, wanita berperanan dalam memupuk dan melahirkan generasi yang berkualiti dan berketerampilan. Persoalannya apakah peranan wanita dalam melahirkan generasi berkualiti ini?

Peranan perdana wanita dalam melahirkan generasi yang berkualiti ialah wanita sebagai ibu yang memberi kasih sayang yang sepenuh kepada anak-anak.Hal ini demikian kerana,anak-anak akan mendengar kata ibu bapa mereka yang dianggap sebagai idola hidup mereka. Dalam bidang akademik misalnya, rata-rata pelajar yang ditemuramah menyatakan peranan dan tunjuk ajar ibu bapa serta kasih sayang yang dicurahkan dapat membantu mereka dalam mencapai kejayaan yang cemerlang. Sebagai contoh,Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM),tahun 2004 telah membuktikan bahawa sentuhan kasih sayang daripada ibunya telah menyebabkan dia berjaya dalam SPM tersebut. Seandainya ibu bapa tidak memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak,sudah pasti anak-anak tidak akan berjaya dalam bidang yang akan diceburinya. Sudah terang lagi bersuluh, sentuhan kasih sayang yang diberikan oleh ibu tidak ada tandingannya dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang berkualiti sehinggakan dalam agama Islam ada menyatakan bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Selain itu, wanita juga berperanan sebagai isteri yang sentiasa memberi dorongan kepada seorang suami. Hal ini demikian kerana, di sebalik kejayaan seorang suami, wanitalah yang sering menjadi perisai penting umpama senjata yang tajam dan berbisa bagi seorang suami mengharungi pelbagai pancaroba hidup.Sebagai contoh,mantan Perdana Menteri Malaysia,Tun Dr. Mahathir bersama isterinya, Datin Seri Hasmah binti Mohamad Ali telah bersusah payah bersama-sama sehinggalah suaminya berjaya menjadi seorang menteri yang tersohor di dunia lantaran daripada dorongan dan sokongan daripada isterinya selaku pendamping.Andai kata,wanita selaku pendamping utama kepada suami dan sering memberi dorongan kepada suaminya ,sudah tentu suami akan sentiasa menempa kejayaan yang diimpikan akan terjamin .Sebaliknya,jika isteri tidak memberikan sokongan dan dorongan kepada suami sebagai ketua keluarga, maka secara tidak langsung sudah tentu apa sahaja yang diimpikan oleh suaminya akan kecundang. Oleh itu,peranan wanita sebagai pendorong utama kepada suami dalam melahirkan generasi yang berkualiti amat penting untuk menjanakan kejayaan suami.

Dalam pada itu,wanita juga dilihat sebagai wanita yang berkerjaya dan berperanan melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual. Hal ini demikian kerana, golongan wanita pada masa sekarang rata-ratanya berkerjaya dan berdaya saing untuk maju dalam sesuatu bidang sehingga telah berjaya melahirkan banyak generasi yang hebat di seantero dunia. Dalam konteks ini,seseorang wanita yang berkecimpung dalam sesuatu bidang yang profesional akan memberi sepenuh komitmen dalam tugas mereka untuk melahirkan generasi yang cemerlang.Buktinya,kejayaan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 iaitu Nik Nur Madihah Binti Nik Kamal yang berjaya memperoleh 21A berpendapat bahawa gurunyalah yang telah banyak membantunya dalam menggapai bintang kejayaan tersebut .Seandainya golongan wanita yang berkerjaya memainkan peranannya dalam melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual, sudah pasti generasi yang berkualiti dapat dilahirkan.Sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan wanita dalam melahirkan pemimpin-pemimpin yang berintelektual merupakan salah satu usaha untuk melahirkan generasi yang berkualiti sekali gus melahirkan pemimpin-pemimpin yang lebih berdaya saing.

Di samping itu, generasi yang berkualiti juga dapat direalisasikan dengan peranan wanita yang bertindak sebagai suri teladan kepada anak-anaknya.Hal ini demikian kerana,wanita merupakan insan yang paling dikagumi dan disayangi oleh anak-anak. Majoriti daripada permata negara pada hari ini akan mengikuti segala nasihat dan bimbingan daripada ibu kerana ibu merupakan insan yang paling banyak menyumbangkan tenaga sama ada dari aspek mental dan fizikal dalam melayan karenah anak-anak mereka. Selaku wanita yang bergelar ibu,seharusnya mereka sentiasa menunjukkan nilai-nilai murni kepada anak-anak tidak kira sama ada di hadapan atau di belakang untuk dijadikan idola, kerana pepatah ada mengatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya .Sebagai contoh , ibu perlulah sentiasa menjaga tingkah laku dan pertuturan untuk m enyemai benih nilai kemanusiaan dalam diri anak-anak mereka untuk melahirkan generasi yang berkualiti.Seandainya,ibu tidak menjadi suri teladan kepada anak-anak, maka sudah tentu anak-anak tidak akan mampu menepis segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan mereka kerana mereka akan terikut-ikut dengan perilaku ibu mereka yang telah ditakrifkan sebagai idola dalam hidup mereka. Oleh itu,jelaslah bahawa wanita perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak untuk melahirkan generasi yang berkualiti selari dengan matlamat negara untuk melahirkan generasi yang cemerlang ,gemilang dan terbilang.

Tambahan pula, generasi berkualiti juga dijanakan oleh wanita yang berperanan sebagai ketua pemimpin bagi sesebuah organisasi. Hal ini demikian kerana, wanita besi ini mampu mentadbir dengan adil. Generasi yang bekerja di bawah pemantauannya akan menjadi insan yang hebat dan proaktif melalui amalan “ Kepimpinan melalui teladan”. Sebagai contoh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz iaitu Gabenor Bank Negara merupakan seorang pemimpin yang gah di mata dunia lantaran terpilih sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh Global Finance. Banyak pegawai yang dedikasi dan komited telah berjaya dilahirkan melalui kebijaksanaan pimpinan beliau sehinggakan negara kita pernah menerima Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik di peringkat dunia.Andai kata golongan wanita berperanan menjadi ketua pemimpin yang hebat di sesebuah organisasi, sudah pasti generasi pelapisnya akan menjadi insan yang terbaik dalam bidang yang diceburinya. Semangat dan kegigihan serta ketabahannya akan member suntikan semangat kepada generasi lain untuk melakukan apa sahaja yang terbaik walau pun mencabar fizikal dan mental. Sesungguhnya wanita yang berperanan sebagai pemimpin akan berjaya melahirkan generasi pemimpin muda yang berkaliber dan berkualiti.

Deduksinya, golongan wanita memainkan peranan yang tidak kurang vitalnya dalam melahirkan generasi yang berkualiti . Ternyata kudrat golongan wanita selama ini membuahkan hasil apabila Berjaya melahirkan anak watan yang berjaya dalam semua bidang yang diceburi dan banyak dalam generasi sekarang telah menempa nama serta tersohor di mata dunia. Oleh itu, wanita haruslah terus memainkan peranan mereka agar generasi yang cemerlang, gemilang, dan terbilang boleh dicapai dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang dipandang tinggi di seantero dunia.

No comments:

Post a Comment