Sunday, October 9, 2011

DISIPLIN ASAS KEJAYAAN

Pada era globalisasi ini, pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah. Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka. Oleh itu, remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli, merokok dan berlumba haram. Akhirnya, masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan. Oleh itu, pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan.

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri.Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya, remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan. Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu, pencapaian akademik pelajar akan meningkat. Apabila pemikiran pelajar menjadi matang, jati diri pelajar akan turut meningkat.

Selain itu, sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi. Mereka suka melepak,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya, mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar.

Seterusnya, disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja.Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri. Contohnya, mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha. Oleh itu, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin.Dengan teknik pembelajaran yang disiplin, remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka. Dengan itu, remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri.Pada masa ini, masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum. Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya, mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat. Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagaimana yang kita tahu, anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu, disiplin merupakan kunci kejayaan diri. Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok. Misalnya, mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini. Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri. Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh, ambil yang jernih.

Tuntasnya, masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak. Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara”, remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa. Kesimpulannya,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera. Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka.

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA


Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

No comments:

Post a Comment