Darsawarsa ini,isu kenaikan harga barang di pasaran khususnya makanan sering menjadi polemik utama dalam kalangan masyarakat.Sehubungan dengan itu,isu ini telah menjadi virus epidemik yang menyerang masyarakat Malaysia pada hari ini.Perkara ini berlaku ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda setiap penjuru dunia baru-baru ini.Kenaikan harga barang telah membebankan masyarakat yang hidupnya seperti kais pagi makan pagi,kais petang makan petang.Jadi hal ini perlu diatasi dengan kadar segera supaya tidak lagi menjadi beban kepada masyarakat.Persoalannya,apakah prakarsa yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan bebanan masyarakat akibat daripada kenaikan harga barang ini?
Minhaj perdana yang perlu dilaksanakan untuk mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barangan ialah individu mestilah membawa bekalan makanan ke destinasi masing-masing. Dengan membawa bekalan makanan ke destinasi seperti tempat kerja dan sekolah, seseorang itu dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian. Dalam hal ini, ibu mestilah memainkan peranan utama bagi menye diakan bekalan makanan untuk anak-anak dan suami ke destinasi yang dituju. Selain itu, mereka juga akan dapat memanfaatkan wang perbelanjaan harian untuk kegunaan lain seperti membayar bil telefon, air, dan elektrik serta membeli barangan keperluan. Melalui cara ini mereka akan dapat mengekang bebanan akibat kenaikan harga barangan selain dapat mengawal pembaziran. Jadi, sesuailah apa yang dikatakan menurut kata pujangga berjimat cermat merupakan amalan yang mulia. Sekiranya kita membawa bekalan makanan ke mana-mana destinasi, kita akan dapat mengurangkan bebanan akibat kenaikan harga barangan. Tegasnya, membawa bekalan ke mana-mana destinasi merupakan langkah perdana untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan.
Langkah seterusnya untuk meringankan beban masyarakat akibat kenaikan harga barang ialah masyarakat perlu menggunakan barangan buatan tempatan. Barangan tempatan lebih murah dan berkualiti serta dapat mengurangkan kos sara hidup masyarakat yang kian meningkat hari demi hari. Harga bagi barangan buatan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan harga barangan import. Keadaan ini berlaku kerana barangan buatan tempatan tidak dikenakan pelbagai cukai untuk diperdagangkan di pasaran tempatan. Dunia pada dasawarsa ini mengalami masalah kegawatan ekonomi yang agak teruk. Negara Malaysia juga turut terkena tempias daripada kekangan tersebut. Impaknya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menangani masalah ekonomi negara. Pihak kerajaan telah meningkatkan duti import bagi barangan dari luar negara untuk dibawa masuk dan diperdagangkan di pasaran tempatan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara. Natijahnya, harga barangan import lebih mahal dan membebankan masyarakat. Dalam konteks ini, kata-kata pujangga iaitu ‘ukur baju di badan sendiri’, memberi siratan makna yang menggenapi semua aspek kehidupan manusia dalam menjalani urusan jual beli pada hari ini. Masyarakat kita sepatutnya dapat berfikir dengan waras dalam membeli sesuatu barangan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka. Jika masyarakat menggunakan barangan buatan tempatan, maka beban masyarakat akibat kenaikan harga barang dapat dikurangkan. Oleh itu, menggunakan barangan buatan tempatan merupakan salah satu langkah pragmatik dan dogmatik dalam usaha untuk mengurangkan beban masyarakat akibat kenaikan harga barang.
Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu sentiasa melakukan pemantauan dan menyemak harga barangan kawalan dalam usaha untuk mengurangkan bebanan masyarakat ekoran kenaikan harga barangan khususnya makanan. Melalui pemantaun yang kerap dilakukan, para peniaga akan menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Mereka akan sentiasa memastikan harga barangan jualan mereka berpatutan dan tidak melebihi harga yang telah ditetapkan. Dengan ini, masyarakat dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian mereka sekaligus meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Sekiranya pemantaun tidak dilakukan,para peniaga akan terus meningkatkan harga barangan jualan mereka kerana tidak perlu risau natijah yang akan diterima. Keadaan ini ternyata akan memberi masalah yang serius dalam kehidupan masyarakat terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan hidup dalam serba kekurangan seperti kais pagi makan pagi,kais petang makan petang. Cuba kita bayangkan, bagaimana nasib mereka jika pihak berwajib hanya bersikap lepas tangan dalam melakukan pemantaun ? Jika pemantauan dilakukan tetapi hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sudah pasti bebanan yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat bertambah rumit. Tegasnya, sebelum masalah ini semakin membarah dan menyukarkan kehidupan masyarakat,pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlulah melakukan pemantauan dan menyemak harga barangan kawalan dengan lebih kerap agar bebanan hidup masyarakat dapat dikurangkan.
Peranan media massa juga merupakan salah satu uslub yang boleh diambil untuk mengurangkan kenaikan harga barangan di pasaran. Kebanyakan pengusaha lebih mementingkan keuntungan tanpa berfikir panjang tentang taraf ekonomi rakyat yang tidak stabil. Bermula dari sinilah, pihak media massa menjadi pencambah minda rakyat dengan menyiarkan iklan-ikaln yang berkaitan dengan harga barangan semasa. Selain itu, pihak media massa juga harus member kesedaran kepada masyarakat supaya mengambil langkah bijak dalam menangani isu kenaikan harga barang yang boleh mengurangkan beban rakyat. Sebagai contoh, Kementeriaan P engguna Dan Hal Ehwal Dalam Negeri harus menyiarkan gambar-gambar animasi seperti mascot pengguna yang bertujuan untuk menyemai sikap berjimat-cermat dalam kalangan masyarakat di Negara kita sepatutnya diperbanyakkan. Sekiranya pihak media massa tidak memainkan peranan penting dalam menangani masalah kenaikan harga barang, nescaya rakyat akan terus dibelenggu dengan masalah ini. Oleh itu, pihak media massa hendaklah memainkan peranan social mereka dalam meringankan beban rakyat.
Menghidupkan kembali aliran sains pertanian di sekolah merupakan salah satu inisiatif bagi mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barangan. Pihak sekolah haruslah memainkan peranan dalam usaha menghidupkan semula aliran sains pertanian di sekolah. Melalui cara ini, para pelajar dapat mempelajari usaha-usaha kondusif untuk dijadikan panduan dalam menjalankan aktiviti pertanian. Sebagai contoh, pihak sekolah perlu menerap kemahiran pertanian sama ada dalam aspek penggunaan baja benih, baja, pemasuan dan sebagainya. Andai kata aliran sains pertanian tidak dihidupkan semula, maka perkembangan ilmu pertanian akan berkurang dan seterusnya bebanan masyarakat terhadap kenaikan harga barang tidak dapat dibendung. Seandainya kita mahu mengurangkan bebanan masyarakat akibat kenaikan harga barang, pihak sekolah seharusnya mencari jalan merealisasikan aliran sains pertanian sejajar dengan amanat Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya, menghidupkan kembali aliran sains pertanian di sekolah adalah langkah yang bijak bagi mengurangkan bebanan masyarakat disebabkan kenaikan harga barangan.
No comments:
Post a Comment