Sunday, October 9, 2011

DISIPLIN ASAS KEJAYAAN

Pada era globalisasi ini, pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah. Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka. Oleh itu, remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli, merokok dan berlumba haram. Akhirnya, masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan. Oleh itu, pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan.

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri.Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya, remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan. Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu, pencapaian akademik pelajar akan meningkat. Apabila pemikiran pelajar menjadi matang, jati diri pelajar akan turut meningkat.

Selain itu, sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi. Mereka suka melepak,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya, mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar.

Seterusnya, disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja.Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri. Contohnya, mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha. Oleh itu, guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin.Dengan teknik pembelajaran yang disiplin, remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka. Dengan itu, remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri.Pada masa ini, masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum. Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya, mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat. Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sebagaimana yang kita tahu, anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu, disiplin merupakan kunci kejayaan diri. Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok. Misalnya, mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini. Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri. Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh, ambil yang jernih.

Tuntasnya, masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak. Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara”, remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa. Kesimpulannya,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera. Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka.

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA


Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.

Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.

Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.

ISU TABIAT MEROKOK

Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.

Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."

Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.

Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.

Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.

Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."

KEBAIKAN BERGOTONG-ROYONG

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".

Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

KEBURUKAN PENGLIBATAN PELAJAR DALAM INDUSTRI HIBURAN TANAH AIR

Belakangan ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Dalam hal ini golongan pelajar tidak ketinggalan melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi ini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Oleh itu, persoalannya apakah kesan negatif pembabitan pelajar dalam industri ini?

Kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Tegasnya, kesukaran membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama merupakan kesan negatif kepada pelajar.

Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam program realiti hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’. Jelaslah bahawa penglibatan pelajar dalam dunia hiburan akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah.

Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Sudah terang lagi bersuluh, dengan menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih haluan sebelum membuat keputusan.

Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesama peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan. Sesungguhnya, dunia hiburan akan menukar gaya kehidupan seseorang pelajar ke arah yang lebih negatif.

Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan ialah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan. Tegasnya melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan serta guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai merupakan salah satu kesan buruk timbul akibat penglibatan remaja dalam dunia hiburan.

Intihanya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan yang lebih gemilang.

LANGKAH-LANGKAH PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN WARISAN SEJARAH

Warisan sejarah amat penting untuk generasi akan datang. Walaupun sejarah agak membosankan bagi sesetengah orang, adalah amat penting untuk kita mengekalkan warisan sejarah tersebut. Usaha pengekalan warisan sejarah boleh dilakukan dengan memelihara dan memulihara bahan-bahan atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sejarah. Pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting kerana melalui kaedah ini, warisan sejarah akan dapat dikekalkan dan dijadikan bahan pengajaran untuk generasi akan datang sekiranya mereka berusaha untuk memahami dan mendalami sejarah. Sesungguhnya, kita tahu pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah adalah amat penting tetapi, apakah langkah-langkah yang sesuai untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah tersebut?

Langkah perdana bagi memelihara dan memulihara warisan sejarah adalah dengan menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata pelajaran yang wajib bagi setiap pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar akan dapat belajar serta lebih memahami apa yang telah berlaku pada negara kita, Malaysia. Selain itu, kaedah ini juga mampu menyedarkan masyarakat Malaysia terutamanya dari kalangan pelajar tentang kepentingan sejarah untuk terus diingati oleh semua lapisan masyarakat. Beberapa pengajaran boleh didapati melalui mata pelajaran sejarah. Antara pengajaran-pengajaran tersebut adalah seperti berhati-hati dengan kuasa asing sebagaimana yang berlaku pada tanah air kita beberapa tahun lalu yang telah berjaya dikuasai oleh kuasa asing kerana pihak negara kita yang kurang berwaspada dengan kuasa asing pada ketika itu. Selain itu, sejarah juga mengajar masyarakat Malaysia untuk tidak bersikap individualistik sebaliknya lebih bersikap bagai aur dengan tebing. Hal yang demikian membuktikan betapa pentingnya sejarah untuk dipelajari dan dikekalkan untuk generasi akan datang.

Selain itu, sejarah juga boleh dipulihara dan dipelihara melalui kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan yang bersejarah seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang, A Famosa dan Dutch Square di Melaka. Bangunan tersebut merupakan bangunan peninggalan bagi penjajahan Inggeris, Portugis dan Belanda di Malaysia yang berlangsung selama lebih dari 300 tahun. Bangunan-bangunan bersejarah seperti yang tersebut dapat memberikan bukti visual tentang sejarah silam negara. Bangunan-bangunan bersejarah tersebut juga boleh membezakan negara kita dengan negara lain kerana bangunan-bangunan tersebut boleh membekalkan ciri-ciri fizikal yang berbeza daripada negara-negara lain. Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah ini juga mampu meningkatkan bilangan pelancong yang datang ke negara kita. Di sini, boleh kita simpulkan bahawa sejarah bukan sahaja penting untuk generasi akan datang malah sejarah juga penting untuk membangunkan dan memajukan negara dari pelbagai bidang seperti bidang pelancongan.

Seterusnya, menggalakkan penyelidikan tentang cara terbaik untuk menjaga dan memulihara khazanah bersejarah negara dengan mengadakan peruntukan khas. Contohnya negeri Kelantan telah menerima anugerah “The Best Tourism City” daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada tahun 1990-an. Anugerah seperti ini mampu menggalakkan masyarakat yang agak bersifat ‘materialistik’ untuk terus memelihara dan memulihara harta bersejarah negara. Begitu juga di Pulau Pinang. Terdapat beberapa khazanah yang bersejarah seperti Bangunan Cheong Fatt Tze yang telah dianugerahi Pingat Unesco Heritage 2000 Award kerana usaha pemeliharaannya. Sebagaimana yang dapat dilihat masyarakat pada hari ini agak mementingkan kebendaan walaupun sedikit. Dengan mengadakan peruntukkan khas, pastinya banyak khazanah dan harta bersejarah negara dapat dipulihara dan dipelihara. Kaedah ini tidak memungkin kerugian negara kerana melalui kaedah ini khazanah bersejarah yang penting dapat dijaga dan dipulihara.

Sejarah juga boleh dikekalkan dengan mengadakan hari ‘Sejarah Sedunia’ bagi setiap beberpapa tahun. Hari Sejarah Sedunia perlulah diobjektifkan sebagai hari mengingati sejarah. Sejarah juga tidak perlulah dijadikan membosankan. Antara kaedah untuk menjadikan sejarah lebih menarik adalah dengan mengadakan lakonan semula seperti mengadakan filem atau lain-lain lagi. Filem tersebut perlulah dijadikan menarik dan tidak terlalu mengikut fakta sejarah. Fakta sejarah memanglah agak penting, tetapi filem yang terlalu mengikut fakta sejarah kadang-kadang boleh menjadikan filem tersebut agak membosankan untuk ditonton. Oleh hal yang demikian, penerbit filem perlulah lebih peka dengan minat semua lapisan masyarakat. Terdapat beberapa lapisan masyarakat yang lebih berminat dengan cerita-cerita aksi ganas, mendebarkan, suspen dan lain-lain lagi. Melalui kaedah ini bukan sahaja sejarah yang akan diingati semula malah perfileman negara juga mampu dibaikpulih. Kaedah ini ibarat menyelam sambil minum kerana dua kerja dapat dilakukan dalam satu perkara.

Intihanya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah. Beberapa pihak juga perlulah berganding bahu dan mengembeling tenaga dalam usaha mengekalkan peninggalan nenek moyang untuk ghenerasi akan datang. Sejarah negara amat penting untuk generasi akan datang memandangkan terdapat beberapa faedah bagi mereka jika mereka memahami dan mengetahui sejarah negara. Antara faedah tersebut adalah seperti generasi akan datang akan mengenali asal usul negara, memahami pengajaran tentang sejarah negara dan lebih mengetahui kepentingan-kepentingan sejarah. Oleh itu, bersama-samalah kita berusaha untuk mengekalkan warisan sejarah negara. Usaha ini bukan sahaja mendatangkan faedah kepada kita malah kepada generasi akan datang. Tambahan pula usaha tangga kejayaan, sekiranya kita sama-sama berusaha pastinya kejayaan akan dicapai dan matlamat negara untuk mengekalkan sejarah negara kepada generasi akan datang akan turut dicapai. Sekian, terima kasih.

LANGKAH-LANGKAH YANG SEPATUTNYA DILAKUKAN OLEH GOLONGAN PELAJAR DALAM MEREALISASIKAN KONSEP 1 MALAYSIA

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

KESAN-KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.mybukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas danberbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Intihanya bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.