Sunday, October 9, 2011

LANGKAH-LANGKAH YANG SEPATUTNYA DILAKUKAN OLEH GOLONGAN PELAJAR DALAM MEREALISASIKAN KONSEP 1 MALAYSIA

“1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” merupakan idea bernas yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamad Najib Bin Tun Abdul Razak. Objektif prima gagasan 1 Malaysia diperkenalkan adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan kaum yang sudah sekian lama bermukim di negara ini. Gagasan 1 Malaysia merupakan rentetan daripada gagasan Rukun Negara yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei 1969. 1 Malaysia ditubuhkan adalah untuk mengingatkan kita kepada peristiwa pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei kerana mengikut ahli falsafah barat iaitu George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti mengulanginya” jadi kita semestinya tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Oleh sebab itu, gagasan 1 Malaysia amat vital untuk direalisasikan oleh semua golongan masyarakat terutamanya golongan pelajar kerana merekalah yang bakal memacu negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia?

De factonya, terdapat variasi peranan yang perlu dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Salah satu daripada peranan tersebut adalah dengan mengaktifkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan sebagai contoh Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) dan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan ( RIMUP ). Penglibatan diri dalam program anjuran pihak kerajaan berupaya membantu pelajar mengukuhkan nilai perpaduan dalam diri di samping dapat membantu pelajar memahami erti konsep 1 Malaysia yang faktualnya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri. Namun, apabila pihak kerajaan mengadakan aktiviti-aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan kebanyakan para pelajar akan menarik diri daripada menyertai aktiviti tersebut walhal aktiviti sedemikianlah yang mampu merapatkan mereka dengan masyarakat yang berbilang ras dan etnik. Sepatutnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia golongan pelajar berlumba-lumba untuk menyertai aktiviti seperti PLKN dan RIMUP. Sekiranya hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak berminat untuk menyertai aktiviti kenegaraan dan kemasyarakatan maka konsep 1 Malaysia tetap tidak dapat direalisasikan dengan sepenuhnya kerana peranan untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia memerlukan penglibatan semua pelajar bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Oleh itu, semua pelajar perlulah mengaktifkan diri dalam program yang dianjurkan pihak kerajaan kerana penglibatan diri dalam program tersebut merupakan satu langkah dogmatik dan pragmatik yang wajar dilakukan oleh pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Seterusnya, untuk menjadikan gagasan 1 Malaysia menjadi kenyataan para pelajar seharusnya menghayati Rukun Negara sepenuh hati supaya para pelajar lebih mengerti nilai perpaduan kaum bagi sesebuah negara. Rukun Negara merupakan gagasan pertama yang dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969 oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Rukun Negara digubal adalah untuk menyelesaikan persengketaan yang berlaku antara kaum akibat sentimen perkauman. Rukun Negara mengandungi lima prinsip dan kelima-lima prinsip tersebut menjurus ke satu matlamat iaitu mengukuhkan perpaduan antara semua kaum di negara ini. Jadi Rukun Negara merupakan gagasan yang syumul dalam mengeratkan perpaduan kaum yang utuh. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menghayati Rukun Negara untuk menanam semangat perpaduan dalam diri dan seterusnya untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah pelajar hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap Rukun Negara dan terdapat juga pelajar yang tidak mengingati langsung terhadap lima prinsip Rukun Negara. Seandainya, para pelajar tidak menghayati Rukun Negara maka tidak hairanlah konsep 1 Malaysia tidak dapat direalisasikan dan rusuhan kaum berlaku sekali lagi seperti yang dilakukan oleh kumpulan HINDRAF pada tahun 2007. Sudah terang lagi bersuluh, menghayati Rukun Negara merupakan peranan yang paling wajar dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Menjaga hubungan baik antara kaum merupakan satu lagi minhaj yang boleh dilakukan oleh golongan pelajar untuk merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar sejamaknya perlu memelihara relasi yang baik antara ras supaya sentimen perkauman tidak timbul dan semestinya untuk mengalicaukan rusuhan kaum daripada terjadi. Para pelajar dapat menjaga hubungan yang baik antara kaum dengan kerap mengunjungi rumah jiran tetangga dan sahabat handai yang berlainan kaum selain menghormati budaya serta adat resam kaum lain. Untuk menjaga hubungan yang harmoni antara kaum para pelajar bukan sahaja perlu membantu bangsa lain yang dalam kesusahan bahkan para pelajar perlu berusaha mengenali dan mendekatkan diri dengan kaum lain. Gagasan 1 Malaysia sebenarnya menekan konsep persamaan taraf seperti yang terdapat dalam Piagam Madinah pada tahun 622 Masihi. Semua rakyat diberi layanan sama rata agar tidak wujud rasa ketidakpuasan hati dalam diri rakyat Malaysia. Andai kata, para pelajar sering bersikap pesimis terhadap kaumlain dan bersikap perkauman nescaya para pelajar tidak akan mampu merealisasikan konsep 1 Malaysia dan sudah pasti juga akan wujud sentimen perkauman serta sebagai konsekuensinya rusuhan kaum berkemungkinan besar akan berlaku. Tegasnya, para pelajar perlulah menjaga hubungan yang baik antara kaum lain kerana mempunyai relasi yang kukuh antara kaum merupakan peranan perdana yang harus dilaksankan oleh pelajar untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Selain itu, para pelajar juga sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain supaya konsep 1 Malaysia menjadi realiti kerana bahasa mampu menjadi alat untuk mengeratkan perpaduan. Penggunaan bahasa yang sama antara kaum lain dapat memupuk semangat perpaduan kaum yang jitu selain dapat meningkatkan lagi semangat cinta akan tanah air. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling wajar digunakan oleh pelajar semasa berkomunikasi dengan bangsa lain di Malaysia tambahan pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan kekukuhan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan jelaslah bahawa para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan antara kaum lain seperti yang diamalkan oleh masyarakat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Setiap pedagang di Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua franca. Jikalau para pelajar enggan menggunakan bahasa kebangsaan ketika bercakap dengan bangsa lain maka sudah tentu perpaduan tidak akan wujud dan para pelajar tidak akan mempunyai semangat patriotik. Maka dengan itu jelaslah bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam percakapan seharian dengan kaum lain merupakan peranan yang perlu dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Sentiasa memandang positif dan menyokong setiap saranan dan buah fikiran Perdana Menteri merupakan satu lagi uslub yang sepatutnya dilaksanakan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia. Para pelajar seharusnya mengikuti segala saranan Perdana Menteri dan memandang positif terhadap saranan tersebut agar tidak timbul perselisihan faham antara rakyat dan pemerintah yang boleh mengakibatkan berlaku pemberontakan. Selain itu, setiap saranan Perdana Menteri sudah semestinya demi kebaikan rakyat dan negara. Jadi para pelajar hasratPerdana Menteri untuk melihat semua rakyat di Malaysia hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama. Perpaduan kaum yang utuh bagi sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk merupakan elemen yang paling vital dalam memastikan keamanan negara terus berkekalan. Oleh sebab itu, para pelajar perlu memandang positif terhadap ideologi Perdana Menteri dan mendukung ideologi tersebut supaya kemerdekaan negara terus berkekalan dan keharmonian negara terjamin. Jika para pelajar sentiasa berprasangka buruk dan tidak mengambil peduli terhadap saranan dan ideologi Perdana Menteri maka perpaduan kaum yang utuh tidak dapat dicapai dan sudah pasti juga gagasan 1 Malaysia tidak akan menjadi kenyataan. Secara tegas, berpandangan positif dan menyokong ideologi Perdana Menteri ialah peranan yang harus dimainkan oleh golongan pelajar dalam merealisasikan konsep 1 Malaysia.

Konklusinya, para pelajar mempunyai pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan dalam memastikan konsep 1 Malaysia menjadi kenyaatan. Walau bagaimanapun, tugas merealisasikan konsep 1 Malaysia bukan sahaja terletak di bahu golongan pelajar bahkan menjadi tanggungjawab semua pihak. Jikalau semua pihak memainkan peranan masing-masing dan berkolaboratif antara satu sama lain sudah tentu konsep 1 Malaysia dapat direalisasikan dengan mudah dan efektif kerana bak kata pepatah, “ Muafakat membawa berkat”. Gagasan 1 Malaysia sememangnya amat penting untuk menjadi realiti bagi membuktikan kepada seluruh dunia betapa kukuhnya perpaduan kaum yang terjalin di Malaysia. Oleh itu, dukunglah gagasan 1 Malaysia, “ 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”.

KESAN-KESAN TEKNOLOGI MAKLUMAT (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.mybukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas danberbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Intihanya bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar.Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Langkah perdana yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya.Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan?Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air.Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.Jika hal ini tidak dibendung,masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein.Bukan itu sahaja,majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu,negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekaligus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusinya, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI KEGIATAN JENAYAH DALAM KALANGAN REMAJA

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.

Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu masalah.

Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan remaja.

Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.

Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.

Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.

LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN DESA

Darsawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita .Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan seramai 10.2 juta orang. Senario ini, menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling ramai menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan dikampung dan merasai budaya dan adat resam ini sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masauk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sector pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, mengadakan kempen merupakan langkah progmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

Minhaj seterusnya untuk memajukan Pelancongan Desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti mele[askan batuk di tangga, maka industry desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju.

Selain itu, pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktivit rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-altiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan ‘homestay’ boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing,congkak,wau,dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian,aktiviti menuai padi,dan pertandingan membuat kraftangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancing asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen,sudah pasti industry pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya,pihak pengurusan ‘homestay’ perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.

Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk meningkatkan lagi keberkesanan promosi ini, pihak kerajaan juga haruslah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan lagi kehadiran pelancong dalam negara kita ini. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak ramai rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Tambahan lagi, ekonomi negara Malaysia juga bergantung kepada sektor pelancongan, dengan pertambahan pelancong dari luar dan dalam negara, secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi sumber ekonomi negara kita. Antara langkah-langkah yang dapat diambil untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa adalah dengan mengadakan kempen. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kaswasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah lagi minat pelancong untuk mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ, bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen “cuti-cuti Malaysia” dan ‘Tahun Melawat Malaysia” tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan lagi kehadiran pelancong di negara ini.

Seterusnya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa.Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa.Sehubungan itu,pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan.Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan,batik dan kraftangan.Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan.Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini,maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju.Tegasnya,untuk memajukan industri desa,kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.

Intihanya, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai ‘aur dan tebing’ dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar. Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang ‘penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat’. Industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan industri pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya.

KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

Era globalisasi ini, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan wang dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini demikian kerana penggunaan kemudahan pengangkutan awam ini telah mendapat perhatian dan menarik minat pengguna jalan raya di negara ini. Pengguna jalan raya menggunakan alternetif ini bagi memudahkan mereka menuju ke destinasi masing-masing. Lantaran itu, mereka telah memilih pelbagai pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorel dan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka. Oleh itu, pertumbuhan pengangkutan awam ini telah meningkat dengan mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Persoalannya, apakah kepentingan yang dapat diperoleh melalui kemudahan pengangkutan awam ini?

Kepentingan perdana menggunakan kemudahan pengangkutan awam ialah kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kesesakan lalu lintas berlaku kerana rata-rata rakyat Malaysia lebih berminat menggunakan kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam. Oleh sebab rakyat Malaysia yang bersikap hidung tinggi dan malu untuk menaiki kenderaan awam mengakibatkan jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun 1980. Oleh sebab itu, kesesakan lalu lintas sering berlaku di negara kita,terutama sekali di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Kota Bharu,dan sebagainya. Dengan menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, teksi, monorel akan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas. Sebagai contoh, masyarakat di negara matahari terbit iaitu Jepun, mereka lebih suka menggunakan pengangkutan awam untuk melakukan kegiatan harian mereka, oleh itu di negara Jepun tidak berlaku kesesakan lalu lintas walaupun negara Jepun mempunyai penduduk yang ramai. Seandainya rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam sebagai rutin harian, nescaya kesesakan lalu lintas dapat dielakkan. Oleh itu, pihak pengusaha pengangkutan awam perlu menyediakan pengangkutan yang selesa supaya dapat menarik minat para penumpang agar rakyat Malaysia tidak berasa sangsi untuk menggunakan pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas dapat diatasi. Jelaslah bahawa penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, amaun kenderaan yang menyusur di jalan raya berkurang dan sekali gus dapat mengalicaukan kenderaan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya di ibu kota. Sebagai pengguna yang peka dan sensitif terhadap keadaan semasa, kita haruslah sedar bahawa, penggunaan kenderaan persendirian yang bertali arus dapat mengundang risiko yang tinggi untuk berlaku kemalangan. Sekiranya, semua rakyat Malaysia memprioritikan pengangkutan awam, sudah tentu statistik kemalangan jalan raya akan menurun dan secara tidak langsung juga negara tidak akan mengalami kerugian dari segi infrastruktur dan modal insan. Sebenarnya, kadar kemalangan jalan raya meningkat secara mendadak pada musim perayaan dan pada waktu puncak kerana pada ketika itu bilangan kenderaan di jalan raya juga meningkat. Jadi semolek-moleknya, jika kita ingin pulang ke kampung pada musim perayaan kita wajarlah menggunakan perkhidmatan awam yang terdapat dalam negara kita sebagai contoh bas, kereta api dan kapal terbang. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam akan dapat mengelakkan seseorang daripada menjadi mangsa nahas kemalangan jalan raya yang keseterusnya. Kita harus ingat bahawa malang tidak berbau jadi kita perlulah beringat sebelum terkena.

Seterusnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Untuk menuju ke destinasi, masyarakat yang berbilang kaum di negara kita akan berpusu-pusu menaiki pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi. Situasi sedemikian sedikit sebanyak dapat menyimpul tali silaturahim antara komuniti Melayu, Cina, India dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila kita menaiki sesebuah pengangkutan awam khususnya monorel sudah semestinya kita akan berinteraksi dengan individu-individu di sekeliling kita. Seandainya kita menggunakan inisiatif ini secara konsisten, sudah tentu satu ikatan yang erat dapat dijalinkan sekali gus merealisasikan slogan 1Malaysia yang berteraskan satu jiwa satu bangsa. Tegasnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat memupuk perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang akan membawa kepada pembentukan sebuah negara yang aman dan sentosa ibarat ‘air dalam talam.’

Tambahan pula,penggunaan kemudahan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada pencemaran.Hal ini dikatakan demikian kerana gas karbon monoksida yang dilepaskan daripada asap kenderaan dapat dikurangkan ekoran berkurangnya jumlah kenderaan di jalan raya.Sebagai contoh,pembebasan asap daripada kenderaan akan mendatangkan pelbagai impak negative terutama kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.Dalam konteks ini,asap yang dikeluarkan oleh kenderaan akan menipiskan lapisan ozon dan memaksimumkan tahap pencemaran kualiti udara.Pencemaran udara ini diibaratkanseperti duri dalam daging kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.Jika masyarakat menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam,maka tahap pencemaran alam sekitar dapat diminimumkan sekali gus dapat melestarikan persekitaran yang bersih dan indah.Sudah terang lagi bersuluh,penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam.

Tuntasnya, penggunaan perkhidmatan awam di Malaysia menyumbang banyak manfaat dan kelebihan kepada kita semua. Dunia serba moden era ini memerlukan masyarakat yang berdaya saing dalam segala hal. Kerajaan juga hendaklah menaiktaraf perkhidmatan awam di Malaysia agar setanding dengan negara maju yang lain bak kata pepatah “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Oleh itu, masyarakat Malaysia diseru supaya bersama-sama menggunakan pengangkutan awam agar hasrat kerajaan untuk memajukan negara tidak tinggal impian semata-mata seiring dengan wawasan 2020.

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK NILAI-NILAI MURNI DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Mutakhir ini, nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin pudar.Hal ini terjadi demikian kerana sikap ibu bapa yang tidak prihatin terhadap kepentingan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak mereka.Jika nilai-nilai murni ini tidak dipupuk maka negara kita akan dahagakan masyarakat yang saling bersatu padu.Oleh itu,nilai-nilai murni ini haruslah dipupuk sejak dibangku sekolah lagi kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.Bagaimanakah cara-cara untuk memupuk nilai-nilai murni ini daripada terus hilang ditelan zaman?

Langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk nilai murni adalah melalui bantuan pihak kerajaan.Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi.Kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri.Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini.Oleh itu,pihak kerajaan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat akan terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

Langkah seterusnya yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keruntuhan nilai moral dalam kalangan masyarakat adalah dengan menyedarkan ibu bapa tentang pentingnya memupuk nilai-nilai moral dalam diri anak-anak semasa mereka masih tidak mengenal apa itu erti kehidupan.Ibu bapa boleh memupuk anak-anak mereka dengan sentiasa mengajar mereka tentang pentingnya semangat kejiranan dan perpaduan.Oleh hal demikian,ibu bapa mestilah sentiasa membawa mereka untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang menjurus kepada usaha untuk memupuk nilai-nilai murni.Jika ibu bapa hanya mengambil ringan akan masalah yang sedang melanda negara kita sekarang maka negara kita akan mengalami satu masalah besar yang akan menyerang negara pada masa akan datang bak kata pepatah’api kecil baik dipadam’.Oleh itu,peranan ibu bapa dalam menangani masalah ini amat diperlukan kerana setiap pembelajaran itu bermula dari rumah dan ibu bapa haruslah sabar dalam mendidik anak-anak kerana ‘belakang parang jika diasah tajam juga’.

Selain itu,peranan pihak sekolah dalam membanteras masalah keruntuhan moral ini amat dituntut kerana di sekolah merupakan tempat pembelajaran kedua selepas di rumah.Dalam mengatasi masalah ini,pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah seperti bergotong-royong untuk membersihkan sekolah dan mencantikkan sekolah.Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang peri pentingnya semangat bekerjasama dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.Kementerian Pelajaran boleh mewujudkan mata pelajaran baru yang mengajar pelajar tentang nilai-nilai moral.Jika pihak sekolah tidak memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini maka negara kita semakin kepupusan pelajar yang mempunyai nilai moral yang akan menjadi tunggak negara pada masa akan datang.Tegasnya, pihak sekolah juga memainkan peranan utama dalam mengatasi keruntuhan nilai-nilai moral dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah ini ialah melalui media massa.Pada zaman yang menuju puncak ini,semua informasi-informasi yang berlaku di dunia ini mudah didapati kerana kemudahan seperti internet,televisyen dan banyak lagi memberi kita peluang untuk menerokai hal-hal yang berlaku pada masa sekarang.Oleh hal demikian,sudah tentulah usaha untuk memupuk nilai murni ini boleh dilakukan melalui media massa.Untuk merealisasikan impian ini,pihak media massa haruslah bekerjasama dalam menjayakan program ini dan sentiasa berjuang untuk kadaulatan negara.Seperti yang sedia kita maklum,televisyen menjadi daya tarikan yang popular dalam kalangan masyarakat di negara kita.Oleh itu,pihak syarikat televisyen haruslah sentiasa memaparkan nilai-nilai murni dan kepentingan nilai-nilai murni melalui iklan-iklan di televisyen.JIka pihak media massa tidak bekerjasama dalam mengatasi masalah ini maka amat sukar untuk mewara-warakan masalah yang sedang dihadapi ini kepada masyarakat di luar sana.Oleh itu, pihak media massa menjadi tempat untuk mendapatkan pertolongan bagi menyelesaikan masalah ini bak kata pepatah’yang berpayung yang ditembak.

Ahli Jawatankuasa kampung juga harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampung masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampung,menolong keluarga miskin dan sebagainya.Program seperti ini dapat mengajar penduduk kampung tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral yang terpuji bagi mewujudkan sebuah masyarakat kampung yang harmonis.Program seperti ini juga memberi peluang kepada penduduk untuk meluangkan masa bersama kerana masyarakat pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang tidak bergaul dengan orang lain. Oleh itu,program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan seharusnya dilakukan di setiap kampung di negara ini.

Kesimpulannya,kita haruslah bersatu padu dalam memerangi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat di negara ini dan semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, bak kata pepatah’Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh’.Kita haruslah memupuk nilai-nilai murni ini di dalam diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai-nilai murni kerana ‘hancur badan dikandung tanah,budi baik dikenang juga’.